Sambutan menggalakkan di akhir Ramadhan
Tabung Kemanusiaan Somalia yang telah dilancarkan pada 10 Ogos lalu semakin mendapat sambutan di penghujung Ramadhan 1432H. Pelbagai pihak telah membantu secara individu untuk mengumpul dana di kalangan kenalan mereka dan menyalurkannya kepada pihak GPM. Inisiatif ini amat membanggakan apabila ia terlaksana hasil daripada sifat empati yang ditonjolkan.
Selain itu, pihak-pihak lain seperti ABIM di peringkat daerah turut memberikan kerjasama membuat kutipan dana di pelbagai tempat seperti masjid, surau dan bazaar Ramadhan. Sebagai agensi ABIM, GPM juga telah diundang untuk menyampaikan taklimat ringkas mengenai situasi semasa di Somalia sambil kutipan sumbangan berlangsung di masjid dan sekolah berkenaan.
Pada kesempatan lain, GPM juga dapat mengaturkan sesi taklimat khas yang disampaikan oleh Saudara Hassan Syeikh Ali, wakil lantikan Yayasan Zam Zam Somalia yang cukup arif dengan keadaan meruncing yang sedang melanda tanah airnya.
Yayasan Zam Zam adalah rakan kerjasama GPM dalam memastikan sumbangan dan bantuan dapat diserahkan dengan efektif. Yayasan ini juga merupakan ahli kepada Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang turut dianggotai GPM. Keanggotaan ini telah mengeratkan hubungan GPM dengan mereka yang sudi mengaturkan segala strategi pengagihan sumbangan kelak.
Umat Islam yang dilanda kemarau dan kebuluran di kawasan selatan Somalia turut tertekan dengan cara pentadbiran Al-Shabab yang menguasai sebahagian besar kawasan terbabit. Al-Shabab telah melarang bantuan makanan dari luar khususnya bantuan Barat dan PBB. Situasi rumit ini walaubagaimanapun dapat diatasi apabila Yayasan Zam Zam tidak dikenakan larangan sedemikian.
Justeru, sebahagian besar mangsa kebuluran terpaksa menempuh perjalanan jauh mencari sumber makanan dan perlindungan yang lebih baik berbanding tempat asalnya. Mogadishu, satu-satunya daerah yang tidak dikuasai Al-Shabab menjadi tempat pilihan kebanyakan pelarian selain di Kenya dan Euthopia. Ini mengakibatkan keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal meningkat.
Kerajaan peralihan yang mentadbir Mogadishu tidak berupaya menampung keperluan yang semakin memuncak. Akibatnya, wabak taun turut menular setelah bekalan air bersih tidak diperolehi. Keadaan bertambah buruk apabila kematian bertambah dari hari ke hari akibat kanak-kanak kehilangan nutrisi yang diperlukan. Kemarau yang sudah tiga bulan berlalu masih tidak menampakkan tanda-tanda akan reda. Tanaman turut musnah dan banyak ternakan mati menanggung kepanasan terik tanpa memperoleh makanan.
Penerangan yang disampaikan oleh Sdr. Hassan telah membuka mata para pendengar yang hadir dalam sesi-sesi taklimat lepas. Walaupun secara umumnya, masyarakat di keseluruhan negara Somalia berada dalam keadaan daif, kawasan utara Somalia didakwanya tidak terdesak kepada bantuan luar.
Keperluan segera pada masa ini adalah di daerah Selatan khususnya Mogadishu yang diapit oleh daerah-daerah di bawah penguasaan Al-Shabab. Di daerah Selatan inilah kemarau teruk berpanjangan yang direkodkan terburuk dalam tempoh 60 tahun.
Oleh yang demikian, jalinan kerjasama GPM-Yayasan Zam Zam adalah sangat penting bagi memastikan sumbangan dapat disampaikan dengan selamat ke Mogadishu selain kumpulan pertama yang bakal dihantar oleh GPM tidak menghadapi risiko berhadapan dengan kelompok Al-Shabab yang mengancam keselamatan diri para sukarelawan.















Share This Post!