Misi Bantuan Awal Bencana Indonesia

GPM telah menghantar bantuan awal dalam misi tinjauan ke Yogyakarta, Jawa Tengah dan Padang, Sumatera Barat untuk mangsa bencana gempa dan tsunami akibat letusan Gunung Merapi pada 29 Oktober 2010.

Yokyakarta

Sumbangan awal sebanyak 25 juta rupiah telah disampaikan kepada pihak pengurusan operasi Dapur Umum di Pos Koordinasi di Kecamatan Kemalang, Yokyakarta yang bertanggungjawab menyediakan bekalan makanan kepada mangsa bencana.

Projek Telaga Tiub yang  telah diusahakan oleh GPM dengan kerjasama LAZIS Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) selama ini menggunakan dana bantuan Kementerian Luar Malaysia sebanyak RM500,000 kini sudah siap untuk digunakan.

Projek yang didirikan berdekatan lereng Gunung Merapi itu mempunyai kedalaman 250 meter dijangkakan dapat memenuhi keperluan semasa penduduk berhampiran khususnya mangsa bencana.

Sdr Samsuddin Zainal, Pengerusi KBI mewakili GPM telah dibawa oleh Pak Rifai, Ketua DDII Klaten melawat tapak projek yang dinamakan sebagai Projek Warung Air di Desa Bumharjo tersebut.

Didapati kemudahan air bersih sudah boleh dimanfaatkan namun mereka perlukan dana tambahan untuk membeli lori tangki air. Keperluan ini sangat mendesak kerana agihan air bersih secara percuma perlu dilakukan segera pasca letusan Gunung Merapi baru-baru ini.

Bagi menampung keperluan ini buat sementara waktu, GPM-LAZIS DDII akan menyewa lori tangki air muatan 5,000 liter untuk tujuan pengagihan air bersih. Kos yang dianggarkan adalah sebanyak RM8,000 sebulan.

Mentawai

Sdr Azlan Muhammad Sharif, Pengarah Operasi Kemanusiaan GPM yang mengetuai misi ini juga telah berada di Kepulauan Mentawai selepas berlepas menaiki kapal Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) dari Padang.

Kebanyakan bantuan datang melalui Padang dan dibawa ke Sikakap yang berada di selatan Pulau Pagai Utara sejauh kira-kira 150 batu nautika. Perjalanan dari Padang ke Sikakap ini mengambil masa sekitar 10-16 jam bergantung kepada keadaan laut.

Dilaporkan bahawa telah banyak bantuan dan relawan kini berada di Sikakap; namun hanya sekitar 20 peratus sahaja dari bantuan telah dapat disalurkan ke daerah-daearah bencana. Selebihnya masih tertumpu di Sikakap.

Antara faktor utama yang menghambat usaha pengagihan bantuan ialah keadaan laut yang bergelora dan sistem perhubungan darat yang rosak.

GPM telah dimaklumkan bahawa hanya komunikasi melalui telefon bimbit boleh diakses dan ini menyukarkan penyaluran maklumat berbentuk audio visual.

Di Pulau Pagai Utara, GPM bersama LAZIS-DDII telah pun  mendirikan Pusat Bantuan Kecemasan Lapangan. Bantuan awal sebanyak RM10,000 telah dibawa Azlan untuk disampaikan dalam misi ini.

GPM kemudiannya bersama kerjasama beberapa NGO tempatan berusaha untuk ke Pasapuat di bahagian utara Pulau Pagai Utara yang terletak kira-kira 40km dari Sikakap.

Usaha melalui jalan laut menggunakan empat buah bot untuk menyampaikan bantuan telah menemui kegagalan apabila dihurung cuaca buruk dengan ombak setinggi 4 ke 5 meter sehingga menenggelamkan sebuah bot dan mengakibatkan sebuah bot lagi patah dua.

Dua bot selebihnya terpaksa berpatah balik dan kesemua sukarelawan yang terlibat dapat diselamatkan dan berada dalam keadaan baik. Usaha ke Pasapuat diteruskan lagi melalui jalan darat dengan konvoi  lapan buah motosikal kelmarin.

Samsuddin dijangka pulang ke Malaysia hari ini dan tindakan susulan oleh GPM akan dilaksanakan segera berdasarkan laporan yang bakal dibentangkannya sementara Azlan masih berada di Mentawai untuk meneruskan misi GPM.

This entry was posted in News, Updates. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *