rss

Rintihan Pakistan

3 Nov, 2010 gpmhq Articles,Updates
Rintihan Pakistan

Oleh Mohd. Shazni Abdullah

Saat rakyat Malaysia berpusu-pusu ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka lain pula kisahnya saudara Islam kita di Pakistan. Bencana banjir yang melanda negara tersebut pada awal bulan Ogos lalu memberi seribu satu kesan kepada kita.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana satu bencana yang menenggelamkan satu per lima daripada negara tersebut yang dihuni hampir 170 juta penduduk.

Alhamdulillah, kesempatan umur muda yang Allah berikan memberi peluang kepada saya untuk membantu dan berkongsi kesenangan bersama saudara-saudara Islam di Pakistan.

Saya terpanggil untuk memenuhi keperluan sukarelawan Global Peace Malaysia (GPM) untuk misi pertama ke Karachi, Pakistan.

Misi yang bertujuan memantau kawasan terlibat dan menghantar bantuan makanan ini disertai oleh tiga sukarelawan dari GPM. Mereka ialah Shaik Md Noor Shaik Abdul Rahman, Dr.Saeed dan saya sendiri. Misi ini bermula dari 6 hingga 16 September 2010.

Suasana di Karachi petang itu agak muram. Hujan lebat yang menyambut kami menyebabkan jalan-jalan utama di kawasan tersebut agak sesak.

Kenderaan berpusu-pusu dari semua arah. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pelbagai kerenah kenderaan dan manusia yang sangat menyayat hati.

Saat ketika kenderaan kami berhenti di lampu isyarat seorang perempuan tua mengetuk tingkap mengharapkan simpati. Kanak-kanak kecil juga kebanyakan melakukan kerja sedemikian.

Jalan-jalan raya kebanyakannya masih ditenggelami air. Kotor. Itulah perkataan yang sesuai digambarkan bagi negara yang sedang ditimpa bencana ini.

Setelah mengisi perut untuk berbuka puasa, kami terus ke penginapan sementara di bahagian North Karachi.

Belum sempat pun menghela nafas keletihan kami di beritahu bahawa sistem elektrik akan dimatikan bila-bila masa.

Inilah antara cabaran utama berada di Karachi. Sistem elektriknya akan dimatikan sebanyak tiga atau empat kali sehari dalam tempoh dua atau tiga jam.

Bagi kedai-kedai dan rumah-rumah mewah mereka siap sedia dengan kemudahan generator untuk bekalan tambahan. Bagaimana pula nasib rakyat yang susah?

Bertemankan cahaya lilin, kami bersiap-siap untuk berbincang perancangan yang bakal dilakukan pada esok hari. Kami terpaksa berdepan dengan suasana begini walaupun agak terkejut pada mulanya.

Untuk berdiskusi dengan hanya bercahayakan lilin dan haba panas di rumah menyukarkan pergerakan kerja kami. Aktiviti malam tersebut, menguruskan bayaran makanan dan urusan mencari pengangkutan bagi memudahkan perpindahan makanan dari kedai ke tempat penginapan sementara kami.

Pengalaman berhari raya di kawasan bencana merupakan suatu kisah yang tidak dapat digambarkan dalam hidup. Pagi raya di sana di hiasi dengan hujan lebat pada sebelah paginya.

Seusai solat seperti biasa mereka juga keluar menziarahi sanak saudara dan sebagainya. Bunyinya seperti suasana di Malaysia tetapi jika berada di situ dalam keadaan yang serba kekurangan saya merasakan tiada istilah hari raya seperti kita di tanah air.

Walaupun berpakaian serba baru tapi jika dilihat dari raut wajah mereka masih terdapat sesuatu yang membelenggu pemikiran mereka.

GPM mengambil pendekatan untuk tidak terlibat dengan mana-mana agensi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun kerajaan dalam mengendalikan misi pertama ini. Ini kerana kami ingin melihat sendiri dan menghantarkan bantuan kepada mangsa yang benar ditimpa banjir.

Hari raya pertama kami ke Hyderabad. Perjalanan tiga jam menuju ke sana dihiasi dengan khemah mangsa banjir hampir di sepanjang jalan. Kanak-kanak kecil, warga tua pula bersidai di bahu jalan mengharapkan simpati orang ramai.

Suasana yang sangat menyentuh hati saat melihat sesetengah dari mereka terpaksa mandi bersama kerbau di dalam satu takungan air.

Keadaan begini sudah pastilah akan menyebabkan penyakit kulit, taun, malaria dan sebagainya. Kekurangan bekalan air bersih menyebabkan tekanan hidup yang demikian.

Ketika sesi percubaan pertama mengedarkan bantuan makanan dan ubatan di Hyderabad, kami difahamkan bahawa penduduk setempat yang tidak terlibat dengan banjir juga turut sama berkampung di khemah pelarian semata mata untuk mendapatkan bantuan.

Ini menyebabkan kami mula berfikir untuk mencari kawasan lain yang lebih strategik. Misi ini sebenarnya bukan setakat bertujuan untuk mengenyangkan perut mereka sahaja. Bahkan GPM berhasrat untuk merancang sesuatu membangunkan mereka pada masa hadapan.

Oleh itu, tempat dan sasaran penghantaran bekalan yang tepat akan memudahkan kami untuk misi akan datang.

Setelah beberapa hari membuat tinjauan kami ditemani pihak Rangers Pakistan (seperti PGA) ke suatu tempat pedalaman yang dihuni oleh pelarian mangsa banjir dan masih belum mendapat apa-apa bantuan.

Disiarkan dalam Utusan Malaysia, ruangan Bicara Agama pada 27 Oktober 2010.

About gpmhq

Leave a Reply

About Global Peace Malaysia

Global Peace Mission (GPM)  is a non-governmental organization officially  formed in 2001 in response to humanitarian crisis in Afghanistan.  But prior to the official formation, for more than two decades and under various names, GPM has provided emergency assistance to various communities in Southeast Asia, South Asia, Central Asia, Middle...

Learn more »

Find us at :

  • twitter
  • facebook
  • linkedin
  • youtube
  • flickr

Photos on Flickr

Please set your flickr user from admin theme options