rss

Ziarah ukhuwah fil ‘amal ke Kemboja

19 May, 2012 Articles,Updates
Ziarah ukhuwah fil ‘amal ke Kemboja

KEMBOJA memang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang terlibat dengan kerja-kerja amal khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai sukarelawan Global Peace Mission (GPM), sebuah NGO yang terlibat dengan kerja-kerja misi kemanusiaan di luar negara, peluang menyertai rombongan ke Kemboja pada 4 hingga 6 Februari lalu merupakan kesempatan untuk melihat sendiri program-program yang dilaksanakan sana.

Misi itu diberi nama Ziarah Ukhuwwah Fil ‘Amal ke Kemboja (ZULFA) yang diketuai oleh Pengerusi GPM, Ahmad Azam Abdul Rahman bersama 47 peserta.

Lazimnya rombongan GPM akan ke Kemboja pada bulan Ramadan dan pada Hari Raya Korban untuk menyampaikan sumbangan masyarakat Malaysia yang prihatin kepada mereka yang memerlukan.

Namun misi kali ini yang bersempena sambutan Maulidur Rasul agak berbeza kerana GPM mengorak selangkah ke hadapan menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Perdana. Ia sebagai usaha memasyarakatkan budaya membaca al-Quran di kalangan kanak-kanak Islam di Kemboja.

Misi itu juga adalah sebagai kesinambungan kepada misi GPM pada Ramadan lalu iaitu mencetak dan mengedarkan 10,000 naskhah al-Quran kepada kanak-kanak di seluruh pelosok bumi Kemboja.

Diharap usaha itu dapat membangkitkan semangat berlumba-lumba untuk menguasai bacaan Muqaddam dan al-Quran di awal usia kanak-kanak lagi.

Misi kali ini menjadi lebih mantap kerana turut disertai 12 orang warga Universiti Terbuka Malaysia (OUM) untuk bersama-sama GPM melaksanakan kerja-kerja amal.

Program-program GPM di Kemboja bersifat pelbagai dimensi. Walaupun kunjungan kali ini adalah untuk majlis Khatam al-Quran Perdana namun beberapa program iringan turut diatur.

Antaranya melawat institusi pendidikan, perbincangan mengenai pembangunan ekonomi, melawat rumah anak yatim, bertemu penduduk kampung di luar Phnom Penh di samping program-program santai seperti melawat tempat-tempat bersejarah.

Untuk memastikan program Khatam al-Quran Perdana dan Sambutan Maulidur Rasul yang diatur berjalan dengan lancar, seawal pukul 7 pagi para peserta telah menuju ke Masjid Nurul Naim, Phnom Penh.

Sejurus turun dari bas, terdengar gema alunan suara 500 kanak-kanak berselawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di pekarangan masjid untuk menyambut kehadiran ahli rombongan GPM.

Melihatkan kepada semangat dan kesungguhan mereka, emosi para peserta sedikit terusik. Sayu dan Sebak. Air mata mengalir tanpa sedar.

Dengan berpakaian segak, mereka berdiri megah dalam barisan bersama sepanduk bertulis daerah-daerah yang mereka wakili dari seluruh pelosok Kemboja.

Ada yang terpaksa menaiki kenderaan selama beberapa jam untuk tiba di situ seperti yang datang di Wilayah Kampung Thom, Kampung Cham dan Kampung Chnnang.

Rupa-rupanya itulah pengalaman pertama mereka menyertai majlis sambutan Maulidur Rasul dalam skala yang agak besar.
Kebiasaannya kanak-kanak Islam di Kemboja tidak dilibatkan secara langsung dalam acara sedemikian.

Berbeza dengan di negara kita, di mana ibu bapa membawa anak-anakke masjid untuk sama-sama menyerikan acara sambutan perayaan keagamaan.

Majlis Khatam al-Quran itu dianjurkan dengan kerjasama Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) sebuah NGO tempatan yang menjadi rakan pelaksana kepada program-program anjuran GPM di negara itu.

Di samping khatam al-Quran , diadakan juga majlis tilawah, hafazan dan syarahan agama untuk kategori lelaki dan perempuan sebagai satu usaha menggilap potensi mereka yang mengambil bahagian. Ternyata kanak-kanak itu mempunyai bakat yang besar untuk berjaya jika diberi peluang dan bimbingan.

Majlis menjadi lebih berseri dengan persembahan nasyid. Agak memeranjatkan juga kerana kanak-kanak Kemboja masih boleh menyampaikan lagu nasyid dalam bahasa Melayu dengan baik, mewarisi bahasa nenek moyang mereka iaitu bahasa Melayu Champa.

Selesai saja majlis khatam al-Quran di Masjid Nurul Naim, para peserta rombongan dibawa melawat pusat pengajian al-Quran Ummul Qura yang dikendalikan oleh sebuah lagi NGO tempatan iaitu Perbadanan Komuniti Muslim Kemboja (CMCD) yang dinaungi oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Sosial Kemboja, Ahmad Yahya.

Setibanya kami di sebuah bangunan yang agak sederhana, masing-masing terpegun seketika apabila melihat kira-kira 500 kanak-kanak sedang dalam sesi pengajian al-Quran walaupun tanpa naskah al-Quran bersama mereka.

Di situ pihak GPM mengedarkan 500 naskhah al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Khmer. Dana cetakannya adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin hasil daripada kempen Infak Ramadan 1432H yang lalu. Terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer itu diharapkan dapat membantu menyebarkan ajaran Islam di negara itu.

Sekiranya langkah itu tidak diambil, dikhuatiri akan tertanam sikap prejudis terhadap Islam seperti yang berlaku di negara Barat sekarang. Acara utama di Phnom Penh berlangsung dengan jayanya melalui sambutan yang amat menggalakkan.

Kemudian rombongan menuju pula ke wilayah Kampung Thom yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan. Destinasinya Kampung Daun Pein. Di situ para peserta bertemu penduduk kampung di masjid, bertanya khabar dan bersama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sempena sambutan Maulidur Rasul.

Turut disampaikan di kampung itu ialah sumbangan beras dan pakaian serta dana pendidikan. Rombongan dari OUM pula berbesar hati menaja dan mengedarkan sebahagian daripada 1,000 naskhah Muqaddam kepada kanak-kanak di kampung itu.

Sementara itu, Yayasan Hayrat, sebuah NGO dari Turki pula menyalurkan dana bagi membina bangunan tambahan untuk dijadikan kelas agama rakyat.

Sehingga kini empat kelas pengajian agama telah berjaya dibuka di kampung itu di mana gaji guru-guru disumbangkan oleh GPM.

Ziarah Ukhuwah yang terakhir sebelum kembali ke tanah air adalah melawat Kampung Barayn yang terletak di Wilayah Kendal. Perjalanan mengambil masa sejam dan perlu menaiki bot untuk menyeberangi sungai.

Di Kampung Barayn, GPM telah menghulurkan sumbangan beras dan pakaian. Manakala pihak OUM pula mengedarkan Muqaddam kepada kanak-kanak dan juga menyalurkan dana untuk membaikpulih bangunan kelas pengajian agama yang sudah uzur.

Sebelum pulang, para peserta dibawa ke Muzium Toul Sleng atau dikenali sebagai S-21 – bekas sekolah tinggi yang dijadikan pusat kurungan dan penyiksaan ke atas rakyat Kemboja oleh Regim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot. Mangsa adalah dari kalangan profesional, pegawai kerajaan dan alim ulama. Secara keseluruhan, misi tiga hari dua malam di Kemboja itu berjalan dengan jayanya.

Walau bagaimanapun misi projek jangka panjang GPM di Kemboja masih perlu sokongan dan dokongan masyarakat Malaysia yang prihatin.

Mencetak dan mengedarkan 10,000 naskhah al-Quran kepada kanak-kanak yang khatam Muqaddam mereka menjadi keutamaan pada masa ini. Kos cetakan senaskah al-Quran adalah RM15.

Mereka yang berhajat menderma bolehlah menghubungi Future Global Network Foundation – www.futureglobalnetwork.com (FGN) yang merupakan rakan pelaksana program GPM di talian 03-6187 7020. Sumbangan juga dimasukkan terus ke akaun Future Global Network Foundation BIMB 12-113-01-003041-2.

Diterbitkan dalam akhbar Utusan, 29/2/2012.

About gpmhq

Leave a Reply

About Global Peace Malaysia

Global Peace Mission (GPM)  is a non-governmental organization officially  formed in 2001 in response to humanitarian crisis in Afghanistan.  But prior to the official formation, for more than two decades and under various names, GPM has provided emergency assistance to various communities in Southeast Asia, South Asia, Central Asia, Middle...

Learn more »

Find us at :

  • twitter
  • facebook
  • linkedin
  • youtube
  • flickr

Photos on Flickr

Please set your flickr user from admin theme options

None :P None :P